Perutusan Ketua Eksekutif

DARI MEJA KETUA EKSEKUTIF

Alhamdulillah, dengan izin Allah SWT, Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (Yayasan LTAT) terus diberikan kesempatan untuk menyalurkan sumbangan dengan melaksanakan pelbagai inisiatif baharu @ new deals yang memberi manfaat untuk pendidikan anak tentera serta kebajikan warga dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Objektif penubuhan Yayasan LTAT adalah untuk meningkatkan mutu kehidupan anak warga ATM termasuk ahli keluarga melalui penyaluran bantuan serta membiayai pendidikan dan kebajikan. Selain itu, Yayasan LTAT menjalinkan kerjasama strategik bersama Jabatan Arah Pendidikan ATM dan Sel Kebajikan ATM serta agensi-agensi Kerajaan dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) demi menjaga kepentingan penerima manfaat.

Sebagai yayasan yang berfokus kepada pendidikan dan kebajikan warga ATM, Yayasan LTAT akan kekal komited untuk membongkar bakat dan potensi anak tentera dengan pelaksanaan inisiatif-inisiatif baharu yang mampu memberi nilai tambah kepada pembentukan modal insan yang berdaya saing sejajar dengan aspirasi pendidikan nasional. Di samping itu, Yayasan LTAT akan terus komited bagi menjaga kebajikan warga ATM yang memerlukan termasuk golongan asnaf, balu dan veteran ATM sekaligus menjadi pelengkap kepada daya usaha yang telah dilaksanakan oleh pihak Kementerian Pertahanan.

Di kesempatan ini, setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada perajurit atas segala perit getir yang mereka lalui ketika bertugas di perbatasan untuk menjaga keamanan dan kedaulatan tanah air.

Semoga khidmat bakti dan pengorbanan mereka terus disanjung tinggi dan mendapat keberkatan Ilahi.

DATO’ DR. MOHD NIZAR BIN HAJI SUDIN

Shopping Basket