Pengenalan

Yayasan LTAT yang dahulu dikenali sebagai Yayasan Warisan Perajurit (YWP) adalah sebuah yayasan yang ditubuhkan bersama oleh syarikat-syarikat Kumpulan LTAT yang diterajui oleh pihak Boustead Holdings Berhad pada tahun 2000.

Majlis Pelancaran Yayasan LTAT sempena pertukaran nama YWP kepada Yayasan LTAT telah disempurnakan oleh YB Menteri Pertahanan pada 22 Julai 2016 bertempat di Taman Mahsuri Courtyard, Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur.

Objektif utama penubuhan Yayasan ini ialah untuk mengumpulkan seberapa banyak dana yang boleh dari kalangan syarikat-syarikat Kumpulan LTAT bagi membantu membiayai kos pembelajaran bagi anak-anak anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta anak-anak veteran ATM.

Bagi mencapai matlamat penubuhan Yayasan ini, Lembaga Amanah Yayasan LTAT telah bersetuju untuk menyediakan bantuan kewangan kepada anak-anak ATM yang cemerlang dalam peperiksaan UPSR, PT3 dan yang mendapat tempat di IPTA serta anak-anak veteran ATM dalam peperiksaan UPSR dan PT3. Selain daripada pemberian biasiswa bagi membantu membiayai kos pembelajaran, Yayasan LTAT juga memberikan bantuan sara hidup secara bulanan kepada veteran ATM/balu yang layak.

Dengan penukaran nama YWP kepada Yayasan LTAT, ianya akan dapat meningkatkan imej LTAT dan pada masa yang sama juga ia akan dapat mewujudkan satu identiti dan jenama di mana orang ramai akan dapat kaitkan aktiviti-aktiviti Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Yayasan LTAT dengan LTAT dan terus memberi kesedaran tentang sumbangan-sumbangan sosial LTAT.