Berita

KUALA LUMPUR: Seramai 340 pelajar menerima Anugerah Kecemerlangan Pendidikan (AKP) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi kategori Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebagai tanda penghargaan atas pencapaian cemerlang dalam akademik.
Kementerian Pertahanan (MINDEF) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan AKP ATM disampaikan oleh Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan di Dewan Perdana Felda di sini hari ini.
“AKP ATM ini merupakan antara sumbangan yang ditaja keseluruhannya oleh Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) sebagai tanda penghargaan kepada warga ATM dan Veteran ATM serta ahli keluarga di samping menjadi pemangkin semangat kepada warga ATM untuk meningkatkan pencapaian akademik anak-anak.
Bagi kategori IPTA, seramai 65 pelajar menerima RM1,000 yang akan dikreditkan ke dalam akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) Prime dan seramai 275 pelajar dari kategori SPM pula menerima RM1,500 yang juga akan dikreditkan melalui akaun SSPN Prime,“ katanya.
MINDEF berkata pengiktirafan yang diberikan ini sedikit sebanyak dilihat mampu menjadi suri teladan serta inspirasi kepada anak-anak warga ATM yang lain.
Menurut MINDEF, LTAT atau sebelum ini dikenali Yayasan Warisan Perajurit telah menyalurkan pemberian dan dermasiswa kepada lebih 14,000 anak-anak warga ATM dengan peruntukan sebanyak RM12 juta dalam Majlis AKP ATM yang dilaksanakan setiap tahun sejak 1991 lagi.
Peranan Yayasan LTAT yang sentiasa menyokong dan mencari inisiatif baharu seperti Program Sentuhan Elit SPM, Jejak Bakat Anak Tentera dan Program Latihan Kemahiran Anak ATM Dan Veteran ATM (LAKSAMANA) telah banyak menyumbang kepada kejayaan anak-anak tentera dalam pendidikan.
Dalam pada itu, Mohamad turut menyampaikan Anugerah Ikon Menteri Pertahanan kepada Nik Noriqmal Nassim Nik Azlan dan Ameera Hannan Muhammad Habib sebagai anugerah khas di atas pencapaian tertinggi dalam pelbagai bidang seperti akademik, kokurikulum dan kepimpinan.
“Kementerian Pertahanan juga menerima sumbangan cek replika bagi Program Sentuhan Elit SPM 2023 sebanyak RM250,000 daripada ILTIZAM by Ekuinas sebagai tanda sokongan kepada pelajar SPM yang bersekolah di sekolah menengah dalam kem bagi menghadapi peperiksaan SPM kelak,“ katanya.
Menurut MINDEF pelbagai inisiatif yang diberikan ini adalah sebagai tanda sokongan kepada anak-anak warga ATM bukan sahaja dalam bidang akademik tetapi juga dalam bidang kerjaya tidak kira yang cemerlang atau yang kurang cemerlang.
Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Seri Isham Ishak, Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Mohammad Ab Rahman, Panglima Tentera Darat Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan, Panglima Tentera Udara Jen Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan dan Pengerusi LTAT Jen (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor. -Bernama