MoU MIGHT dan Yayasan LTAT tingkat kemahiran anak-anak, veteran ATM


Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MIGHT, Datuk Dr Mohd Yusoff Sulaiman (kanan), Pengerusi Bersama (kerajaan) MIGHT, Prof Emeritus Tan Sri Dr Zakri Abdul Hamid (dua dari kanan), Ketua Eksekutif YLTAT Datuk Dr Mohd Nizar Sudin (kiri) dan Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor pada majlis pemeteraian MoU semalam.

 

LANGKAWI: Kumpulan Industri-Kerajaan bagi Teknologi Tinggi (MIGHT) dan Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (YLTAT) menandatangani satu memorandum persefahaman (MoU) bertujuan meningkatkan kemahiran anak-anak warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan veteran ATM dalam industri pengujian tanpa musnah (NDT) menerusi Program Latihan Kemahiran Anak ATM dan Veteran ATM (LAKSAMANA) di sini, semalam.

Program itu adalah antara inisiatif di bawah Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Industri Pertahanan sempena Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA 23) untuk meningkatkan bilangan pekerja mahir dalam industri NDT yang mampu memberi nilai tambah berganda seiring Dasar Revolusi Perindustrian Ke-4 (4IR) Negara.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MIGHT, Datuk Dr Mohd Yusoff, berkata program itu telah pun berlangsung sejak 2022 dan telah memberi manfaat kepada 1,320 peserta yang sudah mempunyai kerjaya dalam bidang berkaitan.

“Buat kali pertama, kerjasama antara MIGHT dan YLTAT ini bertujuan memperkasakan anak-anak dan veteran ATM supaya memiliki kemahiran teknikal dan kebolehan dalam bidang teknologi untuk memiliki kerjaya pada masa hadapan.

“Kami yakin melalui kerjasama ini akan memberi manfaat kepada kumpulan yang berkepentingan dan menyumbang kepada ekonomi negara selaras dengan hasrat kerajaan untuk menghasilkan nilai insan yang memiliki kemahiran dalam teknologi,” katanya.

 

Kerjasama antara YLTAT dan MIGHT akan berlangsung selama dua tahun, bermula Jun ini sehingga 2025 dan dianggarkan bakal memberi manfaat kepada seramai 100 peserta.

Antara aspek kerjasama termasuk menyediakan pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) dengan memberikan sijil di bawah pensijilan “Personnel Certification Scheme (ICPS) serta menawarkan laluan kerjaya yang kompetitif kepada penerima manfaat di 42 syarikat berdaftar di bawah MIGHT.

Memorandum ditandatangani Ketua Eksekutif YLTAT, Datuk Dr Mohd Nizar Sudin dan disaksikan oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanah YLTAT, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Pengerusi Bersama (Kerajaan) MIGHT, Prof Emeritus Tan Sri Dr Zakri Abdul Hamid.

Program Ujian Tanpa Musnah atau lebih dikenali dengan Non-Destructive Testing (NDT) adalah proses pemeriksaan, pengujian, atau penilaian bahan-bahan, komponen atau perbezaan dalam ciri-ciri tanpa memusnahkan mana-mana bahagian atau sistem. Kaedah NDT menjadi industri pilihan kerana tidak merosakkan komponen yang akan menyebabkan bahaya.

Shopping Basket