PETALING JAYA: Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (YLTAT) dengan kerjasama Jabatan Arah Pendidikan ATM telah menganjurkan Majlis Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Anak-Anak Tentera Darat Tahun 2022 Peringkat Zon Tengah di Wisma Perwira Tentera Darat, Kem Perdana Sungai Besi, semalam.
Dalam majlis itu, sebanyak 47 pelajar telah menerima insentif Anugerah Kecemerlangan Pendidikan (AKP) Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) secara one-off berjumlah RM1,500 seorang, tiga penerima Bantuan IPTA secara one-off berjumlah RM1,000 seorang manakala 10 penerima pula turut menerima Bantuan IPTA dan komputer riba.
Jumlah keseluruhan penerima manfaat di seluruh negara bagi inisiatif pendidikan ini adalah seramai 164 pelajar (AKP SPM), 64 pelajar (Bantuan IPTA) serta 150 pelajar (sumbangan komputer riba).
Penyerahan sumbangan Anugerah Kecemerlangan Pendidikan (AKP) SPM, Bantuan IPTA bagi Ijazah Sarjana Muda pertama dan komputer riba telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain.
Untuk makluman, inisiatif-inisiatif pendidikan yang diumumkan oleh Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ini telah dilaksanakan di lima buah negeri, iaitu Kuala Lumpur, Melaka, Kelantan, Perlis dan Sabah. – UTUSAN
Source: https://www.utusan.com.my/nasional/2022/11/yltat-agih-insentif-kepada-pelajar-cemerlang/