MELAKA: Kementerian Pertahanan (MINDEF) semalam, mengumumkan lapan insentif dan inisiatif pendidikan buat anak anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang dilaksanakan bermula tahun ini.
Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, ketika mengumumkannya, berkata insentif itu adalah untuk menambah baik aspek pendidikan anak-anak anggota ATM menerusi kerjasama Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).
“Selain itu, ia sebahagian daripada usaha MINDEF untuk membela kebajikan warga pertahanan termasuk Veteran ATM serta ahli keluarga mereka,” katanya.
Beliau berkata, insentif pertama adalah Program Dermasiswa Premium dengan anak anggota ATM atau Veteran ATM yang berjaya mendapat tawaran bagi melanjutkan pengajian ijazah pertama di universiti yang berada di tangga 100 terbaik dunia akan menerima insentif RM5,000 secara one-off.
Katanya, ia diikuti dengan Skim Penabungan Anak-anak ATM Rukun Kelima (SPARK) membabitkan Yayasan LTAT dengan kerjasama Lembaga Tabung Haji (TH) dan Jabatan Arah Pendidikan ATM.
“Skim ini dilaksanakan bertujuan membantu lebih 13,500 anak anggota ATM yang bersekolah di Sekolah Dalam Kem (SDK) membuka akaun simpanan secara percuma di TH.
“Yayasan LTAT akan menyumbang RM50 setiap seorang sebagai dana permulaan untuk pembukaan akaun TH atau mengkreditkan dana berkenaan ke akaun sedia ada anak anggota ATM yang terbabit dengan kos keseluruhan RM675,000,” katanya selepas melawat Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kem Terendak, Sungai Udang di sini semalam.
Yang turut hadir Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zin.
Hishammuddin berkata, insentif seterusnya adalah Program Sentuhan Elit Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan semua anak anggota ATM di SDK yang akan menduduki Peperiksaan SPM akan dibantu meningkatkan tahap penguasaan dan pencapaian akademik terutama mata pelajaran teras.
Katanya, program itu membabitkan kolaborasi antara guru pakar serta cemerlang dari Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) dan MRSM yang berpengalaman luas dengan sejumlah RM150,000 diperuntukkan bagi melaksanakan program terbabit.
Selain itu, MINDEF mendapat kerjasama Yayasan Peneraju bagi melaksanakan Program ‘Train and Place’ (latihan dan penempatan) khusus untuk anak warga ATM dan veteran yang mempunyai kecenderungan dalam bidang berkemahiran, terutamanya Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).
Bagi memastikan keberkesanan program terbabit, beberapa pihak industri akan berkolaborasi sebagai penyedia latihan bagi penajaan kursus yang mempunyai padanan kerja dengan industri berkaitan.
Pihak industri akan melatih pelajar, seterusnya wajib menawarkan tempat untuk pelatih terus bekerja apabila tamat latihan di syarikat mereka.
Kementerian itu turut melaksanakan Program Penajaan Asasi Sastera Bersama Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK) menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) dan universiti berkenaan pada Mei lalu.
MoU berkenaan bagi membolehkan 2,500 anak Veteran ATM mengikuti pengajian percuma di peringkat Asasi Sastera, dan kini akan diperluaskan kepada anak warga ATM dan kakitangan awam MINDEF.
Turut disediakan, Anugerah Kecemerlangan Pendidikan ATM yang membabitkan seramai 164 anak anggota ATM yang memperoleh keputusan cemerlang dalam SPM tahun lalu, akan menerima insentif RM1,500 setiap seorang secara one-off.
Seramai 64 anak anggota ATM yang terpilih melanjutkan pengajian ke Universiti Awam (UA) peringkat Ijazah Sarjana Muda akan menerima insentif RM1,000 seorang secara one-off menerusi program Bantuan Kemasukan ke UA.
MINDEF turut memperuntukkan RM450,000 sebagai insentif pemberian komputer riba kepada 150 anak anggota ATM, anak anggota awam MINDEF dan anak Veteran ATM yang sudah mendapat tawaran pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda di UA sesi akademik 2021/2022.
Dalam perkembangan berkaitan juga, Hishammuddin berkata, kementeriannya turut memberi perhatian khusus terhadap inisiatif Feri Sekolah.
“Inisiatif ini saya sendiri cadangkan ketika memimpin MINDEF pada 2015 bagi menggantikan trak tiga tan dengan bas sekolah. Ia membolehkan anak warga pertahanan yang bersekolah di SDK pergi serta pulang sekolah dalam keadaan yang lebih selesa dan selamat.
“Kini, selepas tujuh tahun, MINDEF sedang meneliti perancangan menambah baik lagi inisiatif ini bagi meningkatkan tahap keselesaan dan keselamatan. Antara yang dipertimbangkan termasuklah menambah jumlah hentian bas sepanjang laluan Feri Sekolah ini,” katanya.
Beliau berkata, semua perancangan itu membuktikan MINDEF dan ATM amat serius, bukan sahaja untuk membantu anak warga pertahanan mendapat perkhidmatan pendidikan yang berkualiti, tetapi lebih penting memastikan kecemerlangan pendidikan anak warga pertahanan terus berkesinambungan.
“MINDEF dan ATM akan terus duduk semeja dengan pemegang taruh supaya banyak lagi idea serta pandangan untuk menambah baik insiatif pendidikan ATM dapat diperhalusi bersama seterusnya dilaksanakan pada masa hadapan.
“Ini termasuk bekerjasama rapat dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi mengenal pasti ruang kerjasama yang tidak hanya memanfaatkan anak ATM tetapi juga pelajar awam lain di seluruh negara,” katanya.
Pada lawatan itu, Hishammuddin turut mengadakan lawatan dan penyerahan kunci ke Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) Taming Sari, menyertai program lawatan kebajikan dan meninjau ke Army Endurance Challenge (AEC) yang berlangsung di Lapang Sasar 400, Kem Terendak.